Juara dunia keirin, Azizulhasni Awang, berpuas hati dengan trek Velodrom Nasional di Nilai dengan mengharapkan kemudahan itu mampu digunakan sebaik mungkin pada masa akan datang.

Velodrom itu bakal menjadi antara kemudahan terbaik dunia, dan Azizulhasni lantang mengharapkan ia tidak hanya dijadikan sebagai kemudahan terbiar selepas penganjuran Sukan SEA, 19-30 Ogos nanti.

Azizulhasni, yang berpuas hati dengan trek baru itu, tidak teragak-agak melabelkan kualitinya mampu menepati kriteria venue Kejohanan Dunia, malah hampir menyamai trek Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2017 di Hong Kong.

"Walaupun debu belum dibersihkan sepenuhnya kerana ia masih baru, saya rasa trek ini laju juga. Selepas mengambil maklum balas daripada pelumba lain, mereka turut mengatakan trek ini laju.

"Ia seperti trek di Hong Kong. Saya harap ia tidak akan menjadi kemudahan 'gajah putih' selepas ini dan kami perlu menggunakan sepenuhnya velodrom ini," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, memberi jaminan velodrom itu akan siap sepenuhnya pada hujung bulan ini seperti yang telah ditetapkan.

Projek yang menelan belanja RM80 juta itu sudah siap 96 peratus dan hanya tinggal kerja akhir sebelum diserahkan kepada Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur (MASOC).

"Insya-Allah pada hujung bulan ini ia akan siap, kalau ikut jadualnya. Ia akan diserahkan dan akan ada majlis perasmiannya," katanya.

Pembinaan velodrom berkelas dunia itu sememangnya dinantikan semua atlet berbasikal trek negara dalam misi menawan Sukan Olimpik.