Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Abd Azim Mohd Zabidi, melarang Persatuan Hoki Dalam Air Malaysia (MUHA) menjalankan kutipan derma untuk membantu atlet menyertai Sukan SEA Filipina, November depan kerana ia menjejaskan reputasi sukan.

MOM tegas dengan pendirian bahawa persatuan sukan kebangsaan tidak dibenarkan melakukan kutipan derma secara terbuka.

Ia dikhuatiri menjejaskan reputasi atlet yang sinonim dengan gelaran wira negara.

Jadi, MUHA perlu mencari jalan lain untuk mendapatkan dana sekurang-kurangnya RM70,000 bagi menghantar atlet ke Filipina.

"Ia seperti meminta sedekah dalam usaha menghantar atlet beraksi di luar negara dan secara tidak langsung merosakkan imej sukan itu sendiri," kata Azim.

"Saya berpandangan jika mereka memperoleh dana, bukankah lebih elok jika ia digunakan untuk membangunkan lagi sukan tersebut?

"Pembangunan yang lebih menyeluruh adalah pilihan yang lebih baik buat sukan seperti ini bagi memastikan atlet yang mewakili negara adalah yang terbaik dan mampu menyerlah."

Semua persatuan sukan kebangsaan perlu membayar deposit 50 peratus kepada MOM, 20 September ini sementara bakinya sebelum atlet mereka berlepas ke Filipina.