Penembak sensasi negara, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim, membuktikan tindakan mengugurkannya daripada Program Podium satu kesilapan besar apabila dia cemerlang meraih pingat emas dengan rekod baru acara 10 meter air rifle wanita dalam Kejohanan Trofi Tun Hanif 2017.

Ayuni adalah antara empat penembak negara yang digugurkan daripada Program Podium awal bulan ini.

Hilang 'keistimewaan' selaku atlet elit kebangsaan, keputusan itu tampak menyentap semangatnya untuk persediaan ke Sukan SEA.

Begitupun, Ayuni tampil membuktikan dirinya masih kekal antara penembak terbaik negara.

Beraksi dengan format baru menerusi 24 tembakan dalam final berbanding 20 sebelum ini, Ayuni yang mewakili Pahang meraih 246.3 mata untuk menduduki tempat pertama.

"Alhamdulilah, saya cukup berpuas hati, tambahan pula dengan apa yang berlaku. Ini adalah rekod terbaik saya tahun ini," kata Ayuni.

Malang buat penembak senior negara, Nur Suryani Taibi, apabila sekadar menduduki tempat keempat.

Perak menjadi milik penembak Selangor, Shahera Rahim Raja, manakala gangsa dimenenangi Nur Izazi Rosli dari Kuala Lumpur.

"Saya bersyukur kerana dapat mengekalkan prestasi tetapi saya kurang berpuas hati kerana saya menyasarkan pingat emas," ujar Shahera.