Novak Djokovic meraih kemenangan dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan Kejohanan Akhir Persatuan Tenis Profesional (ATP) buat kali kelima dalam keriernya selepas menewaskan Marin Cilic bagi menempah laluan ke pusingan separuh akhir berdepan Kevin Anderson.

Pemain kelahiran Serbia itu terlebih dahulu memastikan kedudukan teratas Kumpulan Guga Kuerten menerusi dua kemenangan pertama sebelum turun ke gelanggang O2 Arena di London semalam dengan mempamerkan aksi cemerlang menewaskan Cilic 7-6, 6-2.

Cilic, yang sah tersingkir sebaik Alexender Zverev memenangi perlawanan terdahulu, berpeluang memenangi tie-break dalam set pertama, namun Djokovic mengekalkan ketenangan dalam memenangi set tersebut 7-6.

Dia kemudian memenangi lima game berturut-turut bagi memastikan kemenangan straight set dalam perlawanan itu untuk menempah slot berdepan Anderson yang pernah ditewaskannya dalam final Kejohanan Wimbeldon sebelum ini.