Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, menganggap atlet negara sepatutnya fokus terhadap sesi latihan dan akan mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) mengurangkan kerenah birokrasi untuk mempercepatkan bantuan.

Atlet sepatutnya fokus terhadap latihan, bukannya mencari dana.

Masalah wujud apabila persatuan sukan kebangsaan sukar atau lewat mendapat dana daripada MSN hingga memaksa atlet mengambil tindakan sendiri.

"Tahun 2020, terdapat penambahan yang sangat besar dalam suntikan dana ke dalam sukan negara dan kami akan memastikan dana yang diberikan diterjemah menerusi persembahan atlet di pentas antarabangsa," kata Syed Saddiq.

Ia susulan tindakan atlet lawan pedang negara, Joshua Koh I-Jie, yang berjaya mengumpul RM60,000 menerusi kutipan derma atas talian untuk membuat persiapan menjelang kejohanan kelayakan Sukan Olimpik di Seoul, Korea Selatan, April depan.

Tindakan itu mendapat reaksi negatif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang bimbang, ia akan mengundang risiko penyelewengan selain memperkecilkan kuasa persatuan.

Malah, MOM akan membincangkan perkara itu dalam mesyuarat lembaga eksekutifnya bulan depan.



Editor: Ammar Hakim