Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah berharap kontinjen atlet pekak negeri itu dapat mengekalkan kejuaraan dalam Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) Ke-19 di Sarawak, bermula esok hingga 7 Oktober depan.
Menterinya, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, berkata pihaknya yakin kontinjen Sabah mampu memberi saingan kepada negeri lain dalam SOPMA kali ini, selepas menjuarainya di Melaka dua tahun lalu dengan pungutan 10 emas, sembilan perak serta sembilan gangsa.
"Atlet hendaklah sentiasa berusaha melakukan yang terbaik bagi melahirkan lebih ramai atlet muda Sabah, yang berpotensi untuk ditonjolkan ke peringkat antarabangsa.

"Dalam temasya kali ini, kementerian mensasarkan sebanyak 13 pingat emas daripada kontinjen Sabah.
"Inilah semangat yang perlu dipupuk, iaitu bukan sekadar bertanding atas prestasi selaku wakil negeri, malah perlu bersaing untuk melayakkan diri dalam pasukan kebangsaan dan seterusnya peringkat lebih tinggi," katanya ketika berucap sempena Majlis Penyerahan Bendera SOPMA Ke-19 Sarawak 2016 di Kota Kinabalu, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah, Awang Damit Awang Anak dan Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Sabah, Spancer Soo.
Tawfiq berkata kerajaan menerusi KBS turut menyediakan peruntukan bersesuaian daripada segi persiapan dan insentif kepada atlet dan jurulatih.
"Bagi atlet yang berjaya meraih pingat emas, pihak kementerian akan memberikan insentif kemenangan sebanyak RM1,000, manakala bagi perak akan memperoleh RM300 dan gangsa RM200.
"Diharap dengan adanya insentif ini, atlet akan dapat meraih lebih banyak pingat dalam temasya sukan itu," katanya.
Sementara itu, Tawfiq menambah, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama dan sokongan pelbagai pihak dalam menjayakan program pembangunan sukan untuk orang pekak.
"Ini termasuklah sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan atau persatuan sukan dan masyarakat keseluruhannya," katanya.
Kontinjen SOPMA Sabah akan menghantar seramai 59 atlet dan pegawai bagi menyertai sebanyak empat acara yang dipertandingkan.