Umur bukan penghalang bagi atlet muda untuk membutirkan pingat dalam temasya antarabangsa jika diberi peluang.

Pandangan itu dilontarkan penembak senior negara, Nur Suryani Taibi.

Saranan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) adalah untuk mempertaruhkan atlet muda ke Sukan SEA Vietnam tahun depan mengundang reaksi berbeza.

Tetapi tidak bagi Norsuryani yang berasakan pentas pendedahan juga boleh menjadi pulangan kepada satu kejutan berbentuk pingat buat kontinjen negara.

"Ia pentas yang bagus untuk atlet muda.

"Atlet senior perlu tumpu temasya lebih besar berbanding Sukan SEA.

"Mengapa tidak mereka menyumbang pingat. Lagipun ketika saya di peringkat seperti mereka dulu, saya masih mampu menyumbangkan pingat untuk negara.

"Tiada yang mustahil mereka beraksi cemerlang," katanya di Bukit Jalil.

Kali terakhir Norsuryani beraksi adalah pada Sukan SEA Filipina 2019 dan disebabkan wabak COVID-19, proses latihannya terhenti.

Sehubungan itu, pemenang pingat perak Sukan Asia 2014 berlatih setiap hari selepas lampu hijau daripada kerajaan.

"Kami dapat menjalani sesi latihan dengan sebaiknya walaupun terpaksa mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP).

"Apapun terubat rindu saya untuk berlatih.

"Buat masa ini saya fokus kepada persiapan sendiri terlebih dahulu sebelum memikirkan soal kejohanan."