Chef-de-Mission (CDM) ke Sukan Komanwel, Huang Ying How, melihat potensi atlet negara yang sudah mencapai kejayaan di peringkat dunia sebagai sandaran utama untuk cemerlang di Gold Coast bulan depan.

Nama-nama yang sudah tercatat di pentas antarabangsa seperti Azizulhasni Awang, Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong memikul tanggungjawab lebih berat untuk menyerlah dalam Sukan Komanwel.

Perkara ini telah dijelaskan sendiri Ying How yang menyifatkan atlet yang pertama kali ke Sukan Komanwel lebih kecil kebarangkaliannya untuk melakukan kejutan, sebaliknya atlet senior negara mampu untuk menghasilkan kejayaan buat negara.

"Kami sudah mengenal pasti atlet-atlet yang mampu menghadirkan pingat buat kontinjen negara bagi saingan kali ini," katanya.

Tambah Ying How, momentum yang dijelmakan atlet negara dalam saingan Sukan SEA 2017 perlu diteruskan.

Bagaimanapun, persaingan yang lebih tinggi di Gold Coast menanti kontinjen negara dengan kehadiran atlet luar yang lebih berkualiti.

"Momentum daripada kejayaan Sukan SEA akan menjadi dorongan untuk menghasilkan kejayaan buat Malaysia," tambahnya.