Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) hanya selangkah lagi untuk melantik Li Rui sebagai jurulatih skuad terjun negara walaupun pengendali kelahiran China itu tidak memiliki rekod cemerlang seperti bekas ketua jurulatih negara, Yang Zhuliang dan Zhang Yukun.

Li Rui akan menggalas tugas berat membantu penerjun negara meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dia hanya mengendalikan penerjun bertaraf wilayah di China sebelum menyertai skuad pelapis Kanada pada 2017.

Ia bermakna Li Rui tidak memiliki rekod sehebat bekas pengendali negara seperti Zhuliang atau Yukun yang sudah meninggalkan Malaysia.

Namun, dia tetap perlu diberikan peluang menyertai barisan kejurulatihan negara yang dibarisi Christian Brooker dan Li Teng.

"Li Rui sudah pasti tidak dapat menggantikan Yukun.

"Tiada sesiapa mampu menggantikan jurulatih sehebat Yukun.

"Amat mendukacitakan untuk kehilangan khidmat jurulatih sepertinya.

"Kami perlu mengambil alih bagi memastikan legasinya dapat diteruskan.

"Seperti saya katakan tadi, Li Rui tidak akan dapat menggantikannya.

"Dia hanya mampu merapatkan jurang itu memandangkan kami kini hanya mempunyai dua jurulatih yang perlu menguruskan 17 penerjun.

"Ia jelas, kami memerlukan lebih tenaga kejurulatihan," kata Brooker.

ASUM akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Selasa depan bagi memperincikan pelantikan Li Rui.