Astro Arena mengungguli tiga kategori dalam Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), dengan wartawan, Bazly Azmi, dinobat wartawan terbaik keseluruhan menerusi Anugerah Siebel 2016.

Astro Arena memenangi kategori laporan berita terbaik media elektronik menerusi Bazly berdasarkan laporan doping yang bertajuk "Sibutramine ancaman baru atlet negara".

Gandingan Bazly dan Ahmed Shahrazad Sani, pula mengungguli kategori ulasan laporan sukan terbaik media elektronik menerusi laporan pasca temasya Sukan Olimpik Rio 2016 bertajuk "Apa lagi untuk emas pertama?"

Ia menjadi malam gemilang buat Astro Arena apabila Bazly diumumkan pemenang Anugerah Siebel yang juga anugerah utama SAM menerusi laporan berita doping berkenaan.

"Ini satu penghargaan terbesar dalam karier saya. Saya sudah mencuba beberapa kali sejak 2010, hanya merangkul anugerah laporan berita terbaik dan ulasan berita terbaik.

"Tetapi kali ini, selepas enam kali percubaan, ini adalah kejayaan paling besar. Alhamdulilah, saya memang mengimpikan untuk menjadi wartawan sukan terbaik di Malaysia," jelas Bazly.

Shahrazad pula menghadiahkan kemenangan tersebut kepada seluruh pasukan Nadi Arena.

"Satu penghargaan selepas tujuh tahun berada dalam industri kewartawanan sukan. Saya mahu tekankan di sini bahawa ini adalah kerjasama dalam pasukan Nadi Arena.

"Ini adalah satu simbolik kemenangan sebagai satu pasukan dan sebagai penanda aras kami di Nadi Arena meraikan kejayaan sukan negara," katanya.

Majlis penyampaian hadiah Anugerah SAM 2016 disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, diiringi Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa.