Empat juara dunia akan berentap merebut Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan apabila Azizulhasni Awang, Cheong Jun Hoong, Wong Wen Son dan Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah, berada dalam senarai akhir kategori utama Anugerah Sukan Negara (ASN) 2017.

Berdasarkan pencapaian atlet negara di peringkat dunia tahun lalu, empat juara dunia berkenaan diramal memiliki kelebihan ketara jika dibandingkan dengan calon lain.

Untuk kategori Olahragawan, selain Azizulhasni, Syarul Azman dan Wen Son, atlet olahraga seperti Muhammad Hakimi Ismail dan Khairul Hafiz Jantan juga memiliki kredibiliti tersendiri selepas berjaya memberi impak dalam Sukan SEA tahun lalu.

Ketua Setiausaha, Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali, berkata pemilihan kali ini adalah sukar kerana persaingan prestasi atlet negara yang semakin meningkat saban tahun.

"Kami dapat menikmati hasil yang bagus, terutama apabila menjuarai Sukan SEA 2017.

"Kami juga dapat melahirkan lapan juara dunia, sekali gus mencerminkan prestasi yang sangat baik dan memberangsangkan," katanya.

Tumpuan bagi kategori Olahragawati pula dilihat terarah kepada juara terjun dunia, Jun Hoong, yang akan dicabar pemenang emas Kejohanan Boling Dunia, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman.

Pencalonan akhir turut menyenaraikan S. Sivasangari dan Koi Sie Yan yang dilihat sebagai pencetus kebangkitan lebih gemilang buat mereka.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata hadiah wang tunai bukan persoalan utama, sebaliknya ASN lebih bernilai jika dibandingkan dengan anugerah lain kerana ia adalah penghargaan daripada Kerajaan Malaysia.

"Anugerah Sukan Negara ini adalah satu-satunya anugerah daripada kerajaan. Bergelar Olahragawan Kebangsaan adalah sesuatu yang berprestij," ujarnya.

Siapakah yang bakal diangkat sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2017? Adakah juara dunia bakal menguasai anugerah kali ini? Semuanya bakal terjawab pada Selasa depan.

Calon Anugerah Olahragawan:

1. Syarul Azman Mahen Abdullah (Angkat Berat)
2. Hakimi Ismail (Olahraga)
3. Azizulhasni Awang (Berbasikal)
4. Gavin Kyle Green (Golf)
5. Fitri Saari (Hoki)
6. Rafiq Ismail (Bowling)
7. Wong Weng Son (Wushu)
8. Khairul Hafiz Jantan (Olahraga)

Calon Anugerah Olahragawati:

1. S. Sivasangari (Skuasy)
2. Koi Sie Yan (Gimrama)
3. Fatehah Mustapa (Berbasikal)
4. Emma Firyani Saroji (Boling Padang)
5. Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (Boling)
6. Cheong Jun Hoong (Terjun)