Pemain ping pong negara, Muhamad Ashraf Haiqal, bakal melebarkan kariernya ke pentas antarabangsa selepas sah disunting sebuah kelab dari Sepanyol, Natacio Sabadell, dan bakal berkelana ke sana selama tiga bulan.

Ashraf sudah pun mendapat persetujuan daripada Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) untuk berhijrah ke Sepanyol.

Kini, dia hanya menanti pengesahan visa dan beberapa dokumen berkaitan sebelum berlepas ke Barcelona pada September depan bagi memuktamadkan urusan beraksi di sana.

Ashraf bakal beraksi selama tiga bulan sahaja di sana, namun yang lebih utama adalah untuk memastikan dia mampu untuk menembusi pasaran luar negara demi kelangsungan kariernya.

"Sukar untuk percaya sebab saya pernah cuba sebelum ini tetapi tiada maklum balas. Kali ini ada maklum balas yang baik, mungkin sebab ranking skuad lelaki naik sedikit.

"Di situ, mereka tengok perkembangan kami dan mendapati kami mempunyai masa depan untuk bermain dengan kelab mereka," ujarnya.

Sebelum ini, seorang lagi bekas pemain negara, Chan Koon Wah, turut pernah berkelana ke Sepanyol tetapi semua itu adalah hasil perbelanjaan sendiri.

"Setakat ini, prosesnya pada 80 peratus sebab permit bekerja di Sepanyol, mereka kata, agak ambil masa. Kalau perkara itu siap, tiada masalah," katanya lagi.