Ketua jurulatih skuad Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj, menganggap beberapa pemain senior perlu kekal dalam skuad kebangsaan selepas menjadi kunci utama kejayaan kelab itu menjulang tiga kejuaraan selepas menewaskan Terengganu Hockey Team (THT) 2-1 dalam aksi final Piala TNB, semalam.

UniKL memiliki empat nama senior daripada skuad kebangsaan yang belum pasti dikekalkan dalam pasukan negara.

Realitinya, Razie Rahim, Sukri Mutalib, Mohd Marhan Abd Jalil dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil memainkan tugas penting dalam membantu UniKL menjuarai Piala Sumbangsih, Liga Hoki Malaysia (LHM) dan Piala TNB, musim ini.

Mereka masih lagi memegang status yang terbaik di Malaysia sekali gus patut kekal dalam skuad kebangsaan.

"Mereka merupakan antara yang terbaik. Itu pendapat saya. Sama seperti Kumar. Pandangan saya, jika anda menggugurkan tiga pemain ini, tahap akan menurun," ujar Arul.

Sementara itu, UniKl memberi bonus berbentuk biasiswa kepada jurulatih dan pegawai pasukan yang mahu melanjutkan pengajian di institusi itu bagi menghargai tiga kejuaraan yang diraih, musim ini.

Malah, pihak pengurusan juga bersetuju menghadiahkan wang tunai dengan jumlah yang akan diumumkan kemudian.

"Di bawah biasiswa ini, akan disediakan bantuan untuk atlet ini menyambung pengajian di UniKL. Kami ada 136 program. Menjelang September ini, kami akan mulakan penawaran program dalam bidang sains dan sukan," kata Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Suud.

"Program baru akan dilancarkan tidak lama lagi. Kami akan besarkan kelab penyokong di Bangi, sambil mengambil sekolah angkat di sana" tambah pengurus skuad UniKL, Datuk Amir Azhar Ibrahim.

Dalam aksi final Piala TNB semalam, UniKL bangkit menerusi jaringan Mohamad Faid Farhard Mohd Shah dan Tengku Ahmad Tajuddin selepas Nabil Fiqri Mohd Noor membuka tirai jaringan buat THT.

Kekalahan itu bermakna THT terlepas peluang untuk memberikan hadiah perpisahan buat pengendali, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, yang bakal menyertai sebuah kelab di Jawa Barat, Indonesia, selepas ini.

"Saya tidak kisah tentang hadiah. Apa pun, kami mempunyai peluang tetapi telah terlepas," ujar Dhaarma.

Aksi final semalam jumlah kehadiran penonton selepas sejak beberapa edisi apabila menarik perhatian sekitar 2,000 peminat ke Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.