Ketua jurulatih skuad hoki negara, Arul Selvaraj, akur dengan arahan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk pasukan hoki kebangsaan meninggalkan Bukit Jalil.

MSN dilaporkan mengarahkan sejumlah 355 atlet -- lebih separuh daripada jumlah keseluruhan -- untuk pulang ke kediaman masing-masing bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Atlet yang diarahkan pulang itu terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai kejohanan penting tahun ini dan mereka yang berada dalam program pelapis kebangsaan manakala atlet yang perlu meneruskan program latihan pula tidak dibenarkan untuk meninggalkan venue latihan MSN di seluruh negara, terutama buat mereka yang sudah layak ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini.

Arul, dalam satu temu bual Nadi Arena, akur dengan arahan itu tetapi gusar pemain hoki kebangsaan kesuntukan masa untuk berlatih secara sistematik seandainya Afrika Selatan menarik diri daripada Sukan Olimpik dan Malaysia diminta beraksi sebagai pasukan gantian.

"Ia (keputusan yang) amat penting bagi keselamatan dan kesihatan atlet supaya mereka tidak dijangkiti.

"Tetapi buat pasukan hoki, kami berdepan sedikit kesukaran kerana hari ini sudah 20 Mei dan Sukan Olimpik pula akan bermula pada 23 Julai ini, jadi ia lebih kurang dua bulan daripada sekarang.

"Kami juga masih belum tahu keputusah FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) berhubung penyertaan Afrika Selatan.

"Sekiranya kami mendapat tempat dalam Sukan Olimpik, itulah kesukaran yang akan saya hadapi.

"Tetapi saya peka dan faham tentang keselamatan dan kesihatan kami," katanya.