Komuniti sukan permotoran tempatan menerima perkhabaran kurang enak di peringkat Asia apabila pusingan ketiga dan keempat perlumbaan Kejuaraan Permotoran Asia (ARRC) di China serta Australia terpaksa dibatalkan.

Justeru, kalendar ARRC tahun ini hanya tinggal dua venue sahaja, iaitu membabitkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) serta Litar Chang Buriram, Thailand.

Pihak penganjur sedang berusaha untuk tetap melangsungkan saingan itu sejak ditunda awal bulan lalu.

Namun, kebanyakan pelumba yang terlibat kurang yakin berdasarkan keadaan semasa di Malaysia dan Thailand yang masih bergelut dengan penularan COVID-19.

"Kami pun kecewa, tidak harapkan ini akan berlaku sebab (kes) COVID-19 di sini makin meningkat.

"Ada sebab ia dibatalkan. Kami agak terjejas sebab ketiadaan perlumbaan," kata juara ARRC 2017 Supersports 600, Zaqhwan Zaidi, dalam Nadi Arena hari ini.





Juara kategori CP 115 Cub Prix 2020, Syafiq Rosli, juga akur dengan ketetapan kerajaan berikutan situasi pandemik itu yang belum reda: "Semua pihak (terlibat dalam sukan permotoran) macam senyap, dah malas ambil tahu.

"Agak kecewa, tapi semua orang terkesan dengan COVID-19, jadi saya terpaksa terima (hakikat)."