Menjelang pusingan kedua Kejohanan Motosikal Asia (ARRC) 2018 bulan depan, pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing, Azlan Shah Kamaruzaman, melahirkan kegusaran terhadap litar di Adelaide, Australia, memandangkan tidak pernah beraksi di sana sepanjang karier profesionalnya.

The Bend Motosport di Adelaide merupakan destinasi baru dalam kalendar ARRC musim ini.

Biarpun ini merupakan julung kalinya ARRC diadakan di luar rantau Asia, ia tidak menghadirkan keterujaan Azlan, sebaliknya gusar kerana tidak mempunyai banyak maklumat mengenai litar tersebut kerana langsung tidak pernah beraksi di sana.

Dalam pusingan pertama ARRC di Litar Buriram tempoh hari, Azlan menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga dalam kedua-dua perlumbaan.

"Ini satu cabaran sebab semua pelumba tidak pernah berlumba di sana.

"Ini merupakan cabaran buat penunggang dan pasukan untuk mencari pelarasan terbaik di litar yang masih baru buat kami," katanya.

Musim 2018 juga menyaksikan 21 pelumba bersaing dalam kategori Supersport 600cc, enam daripada mereka merupakan pelumba muda dari Malaysia.

Daripada aspek berlainan, Azlan melihat ia perkembangan yang sihat buat sukan permotoran tempatan, namun dia juga menyifatkan ia bukanlah persaingan mudah kerana kebanyakkan pelumba terbabit kurang berpengalaman.

"Itu bukanlah masalah bagi saya. Saya masih kekal dalam momentum dan bermotivasi tinggi.

"Dengan tahap fizikal saya masih mengizinkan, saya akan terus bersaing untuk meraih kejuaraan," ujarnya lagi.