Meskipun belum pulih daripada kecederaan retak tiga jari kaki kanan, semangat Mohd Zaqhwan Zaidi tetap membara untuk turun mempertahankan kejuaraan kategori SuperSports 600cc dalam pusingan kedua Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, 13-15 April ini.

Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu mengalami kecederaan dan gagal meneruskan Perlumbaan 2 SuperSports 600cc setelah terjatuh pada peringkat awal perlumbaan sekalipun tampil cemerlang menjuarai Perlumbaan 1 sebelum itu di Litar Johor, awal bulan ini.

"Kesakitan ini tidak apa-apa jika dibandingkan dengan semangat saya untuk menang. Kecederaan tidak menghalang pelumba untuk memenangi perlumbaan.

"Saya tidak boleh kehilangan mata lagi setelah gagal mengutip sebarang mata dalam Perlumbaan 2 sewaktu di Johor," kata Zaqhwan, yang kini berada di tangga ketiga keseluruhan dengan 25 mata.

Kedudukan teratas milik Taiga Hada (45 mata), diikuti Azlan Shah Kamaruzaman (33 mata).

"Saya perlu merapatkan jurang perbezaan mata ini di Buriram."

Jadual Zaqhwan agak padat sepanjang April apabila dijadualkan terbang ke Jepun sebaik Pusingan 2 ARRC di Buriram berakhir untuk mengambil bahagian dalam Perlumbaan Suzuka 2 & 4 di Jepun, pada 22 dan 23 April.

"Perlumbaan Suzuka 2 & 4 merupakan sebahagian daripada latihan untuk menyertai perlumbaan Suzuka 8-hour Endurance, Julai nanti.

"Saya perlu menggunakan masa itu nanti untuk lebih membiasakan diri dengan litar Suzuka."