Kasma Daniel Kasmayudin muncul pelumba negara paling cemerlang dalam kategori Supersports 600cc perlumbaan pertama pusingan keempat Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) selepas menamatkan perlumbaan di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun itu di tempat kedua, hari ini.

Pelumba pasukan Hong Leong Yamaha Malaysia itu mencatat 22 minit 23.836 saat dan hanya ketinggalan 0.805 saat di belakang pelumba tuan rumah, Soichiro Minamimoto.

Strategi untuk kekal dalam kelompok depan membuahkan hasil buat Kasma Daniel yang memanfaatkan tunggangan tidak konsisten pendahulu keseluruhan dari Thailand, Peerapong Boonlert, yang akur menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Seorang lagi penunggang negara, Adam Norrodin, pula menamatkan perlumbaan di tempat kelima di belakang pelumba Jepun, Yuto Sano.