Peerapong Boonlert melebarkan kelebihan mata dalam kedudukan keseluruhan Supersports 600cc selepas mengungguli perlumbaan kedua pusingan keempat Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Suzuka, Jepun, hari ini

Perlumbaan penuh dramatik itu nyata tidak memihak pelumba-pelumba negara, khususnya Kasma Daniel Kasmayuddin, yang akur terlepas kedudukan podium.

Hujan lebat yang membasahi litar menyaksikan tiga pelumba kehilangan kawalan jentera dalam pusingan pertama, termasuk pelumba muda negara, Azroy Hakeem Anuar.

Situasi itu memaksa pegawai perlumbaan mengibarkan bendera merah untuk saingan ditunda hampir sejam.

Sebaik saingan bersambung, jarak perlumbaan dipendekkan daripada 10 kepada lima pusingan dan situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya Peerapong untuk mengekalkan pendahuluan.

Bagaimanapun, ia tidak berlangsung mudah apabila pelumba Thailand itu diekori rapat dua pelumba tuan rumah, Hyosuke Okude dan Soichiro Minamimoto.

Dalam pusingan terakhir, Okude melakukan dua percubaan untuk memintas Peerapong, namun pelumba Yamaha Thailand itu mengekalkan tunggangan kemasnya untuk muncul juara.