Azlan Shah Kamaruzaman meneruskan rentak cemerlang di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand, apabila mengungguli saingan 1000cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) untuk merakamkan kejuaraan ketiganya musim ini.

Selepas mencipta gemilang dalam perlumbaan pertama semalam, cabaran lebih getir dilaluinya dalam perlumbaan kedua pusingan ketiga, petang tadi, terutama ketika berdepan saingan daripada pelumba Australia, Broc Parkes, dan wakil tuan rumah, Apiwat Wongthananon, yang masing-masing bermula di petak kedua dan keempat.

Namun, Azlan Shah mengekalkan momentum tunggangan baiknya apabila kekal sebagai pelumba terpantas ketika tiba di garisan penamat bagi perlumbaan 13 pusingan itu.

Bagaimanapun, kejayaan Azlan Shah itu gagal diiringi Zaqhwan Zaidi, yang menamatkan perlumbaan semalam di tempat kedua, apabila terpaksa akur di tempat keempat -- selepas menjadi mangsa persaingan Parkes dan Wongthananon yang akhirnya melengkapkan kedudukan podium dengan ketinggalan kurang satu saat di belakang Azlan Shah.

Kejayaan Parkes mengisi kedudukan podium menyaksikan dia meletakkan dirinya di atas Azlan Shah bagi kedudukan keseluruhan pelumba.

Azlan memerlukan lapan mata untuk memintasnya manakala Zaqhwan mengisi tangga ketiga dengan 84 mata, berkelebihan lapan mata dengan pelumba Thailand, Apiwat.

Sementara itu, dalam saingan 600cc Adam Norrodin meneruskan penguasaan di tempat kedua walaupun dicabar hebat Kasma Daniel Kasmayuddin.

Perlumbaan kedua untuk pusingan ketiga itu, menyaksikan Kasma Daniel daripada pasukan Hong Leong Yamaha -- menamatkan saingan di tangga keempat semalam -- muncul pelumba negara paling cemerlang apabila memulakan perlumbaan di petak kedua di belakang Peerapong Boonlert yang meneruskan tunggangan cemerlang di hadapan penyokong sendiri.

Bagaimanapun, rakan senegara yang mewakili pasukan SIC Junior ZK Racing Team, Adam, enggan mengalah apabila memperbaiki kedudukannya dari petak keempat untuk mengulangi pencapaian semalam dengan meraih tempat kedua.

Situasi itu menyaksikan Kasma Daniel terpaksa berpuas hati untuk melengkapkan podium sambil kejuaraan kekal milik Peerapong yang menamatkan perlumbaan 12 pusingan itu dengan mempamerkan penguasaan sehingga garisan penamat.