Pelumba ONEXOX TKKR SAG Racing Team, Azlan Shah Kamaruzaman, terpaksa akur apabila menamatkan saingan kelas elit superbike 1000cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) hari di tempat ke-10 selepas terkandas dalam pusingan terakhir.

Penunggang Jerman, Markus Reiterberger, mengungguli perlumbaan yang berlangsung dengan cuaca cerah itu menerusi catatan 25:29.725s.

Saingan itu menyaksikan Azlan Shah, saling bersaing sengit dengan Apiwat Wongthananon, Broc Parkes, Anupab Sarmoon, Lorenzo Zanetti, Thitipong Warokorn dan Yuki Ito untuk kedudukan podium.

Selepas meraih tempat keenam dalam perlumbaan pertama semalam, penyandang juara itu hampir menebus kekecewaannya dalam perlumbaan kedua hari ini.

"Saya hilang cengkaman di tayar depan pada penghujung perlumbaan sebelum terjatuh.

"Saya amat kecewa memandangkan bergelut untuk mendapatkan pelarasan terbaik terhadap motosikal tetapi akhirnya berjaya mendapatkannya dalam perlumbaan ini.

"Cuma permulaan perlahan pada awal perlumbaan membuatkan saya perlu menghambat pelumba di depan dan terpaksa berikan 110 peratus dalam setiap pusingan," katanya ketika ditemu bual wartawan Nadi Arena, Norhalizah Hamzah.



Begitupun, dia masih belum berputus asa sambil bertekad bangkit di Australia, Mei depan.

"Sasaran saya adalah untuk mendapatkan podium ini selepas minggu yang amat sukar.

"Cuma kali ini bukan rezeki saya dan akan cuba lagi dalam kejohanan seterusnya."

Sementara itu, pelumba negara mewakili Pachi ZK Racing Team, Adam Norrudin, bangkit menebus kekecewaan dalam perlumbaan kedua.



Nasib tidak menyebelahinya semalam selepas terkandas ketika saingan berbaki empat pusingan lagi untuk sekadar menamatkan saingan di tempat ketujuh kategori supersports 600cc.

Adam, bagaimanapun, cemerlang hari ini untuk muncul juara dengan catatan 17:36.715 saat sementara seorang lagi wakil negara, Azroy Hakeem Anuar, di tempat kedua.