Azlan Shah Kamaruzaman sudah melupakan episod dukanya di Litar Suzuka pada musim lepas apabila seluruh kontinjen kembali ke litar ikonik itu bagi menghadapi pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) dari 2 hingga 4 Jun ini.

Pada 2016, Azlan hadir di Suzuka selaku pendahulu keseluruhan dan berjaya menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan kelima untuk terus kekal mendahului senarai pelumba.

Namun, pelumba itu terlibat dalam kemalangan ketika menuju ke padok sehingga menyebabkan kakinya patah dan terlepas perlumbaan kedua di Suzuka serta pusingan berikutnya di India.

Keputusan itu menyebabkan Azlan keciciran mata, sekaligus terlepas peluang untuk memenangi gelaran kedua SuperSports 600cc selepas kali pertama melakukannya pada 2013.

Minggu ini, Azlan sekali lagi hadir di Suzuka selaku pendahulu keseluruhan, begitupun pelumba berusia 33 tahun itu tidak terganggu dengan insiden lepas, sebaliknya bertekad memberikan aksi terbaik untuk mengekalkan kedudukan di tangga teratas.

"Insiden tahun lepas tidak menjejaskan keyakinan saya di litar ini. Sebaliknya, saya bertekad untuk beraksi dengan lebih baik bagi mengekalkan kedudukan pendahulu.

"Jika tidak dapat menang pun, saya sasarkan penamat di atas podium," kata Azlan yang kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 83 mata.

Kedudukan kedua milik Taiga Hada (Rama Honda by NTS T.Pro Ten 10) dengan 55 mata dan Mohd Zaqhwan Zaidi (Musashi Boon Siew Honda Racing) ketiga dengan 54 mata.

Tambah Azlan, "Pasukan juga melakukan persediaan yang rapi.

"Kami ada melakukan beberapa sesi ujian di Jepun dan di samping itu, saya juga melakukan latihan sendiri untuk memastikan saya berada dalam kondisi terbaik untuk beraksi di Suzuka.

"Saya tidak boleh memandang mudah perlumbaan minggu ini kerana selain pencabar di dalam siri ARRC ini, kehadiran pelumba wildcard dari Jepun juga perlu diberi perhatian."