Nama pelumba muda Malaysia, Mohd Akid Aziz, dijangka menjadi tumpuan menjelang perlumbaan Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand dari 13 hingga 15 April ini.

Meskipun tidak diletakkan sasaran tinggi, pelumba rookie dari pasukan UMA Racing Yamaha Maju Motor berusia 19 tahun itu kini mendahului kategori Underbone 150cc dengan mengumpul 45 mata setelah muncul juara pada Perlumbaan 2 di Litar Johor dan muncul naib juara pada Perlumbaan 1.

Malah, ketika ini dia turut mendahului kedudukan pelumba kategori CP115 dalam saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017.

"Persaingan di peringkat serantau ini sangat sengit, jadi selalunya pasukan akan memilih gandingan pelumba berpengalaman untuk digandingkan bersama pelumba muda, sebaliknya kami menyenaraikan dua pelumba belasan tahun.

"Namun, Akid membalas kepercayaan dengan menghadiahkan podium berganda di Litar Johor, dua minggu lalu.

"Dia mempamer aksi matang dan bertenaga, tidak menunjukkan seperti pertama kali beraksi menentang pelumba handalan Indonesia," jelas pengurus pasukan, Yong Ying Hoe.

Malah, nama pelumba itu kini diberitakan bakal mengikut jejak seorang lagi pelumba muda negara, Kasma Daniel Kasmayudin, untuk menyertai Kem Master VR46 Yamaha di Itali pada tahun ini, namun masih belum disahkan secara rasmi oleh pihak Hong Leong Yamaha.

Walaupun latihan bersama pelumba handalan di Eropah mampu meningkatkan lagi prestasi Akid, buat masa ini Yong mahukan anak didiknya itu memberi sepenuh tumpuan terhadap perlumbaan yang akan dihadapi ketika ini.

"Saya mahu Akid dan gandingannya, Mohd Haziq Fairues, bersedia untuk menghadapi pusingan kedua ARRC minggu ini. Ketika ini, kelibat mereka mula menjadi perhatian pencabar lain, jadi kami perlu bekerja lebih keras untuk meraih kemenangan.

"Namun, jika mereka kekal beraksi cemerlang dan memberi sepenuh tumpuan seperti perlumbaan lepas, saya yakin mereka mampu sekali lagi meraih kejayaan."

Perlumbaan Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) akan berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand dari 13 hingga 15 April 2017 (Khamis - Sabtu).