Persaingan sengit melibatkan pelumba negara, Mohd Akid Aziz, dalam memburu gelaran juara keseluruhan Underbone 150cc bakal berterusan apabila kontinjen Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) akan turun beraksi di Litar Lumba Motor Madras, India, mulai Jumaat ini.

Setakat empat pusingan lepas, pelumba UMA Racing Yamaha Maju Motor itu sedang mendahului carta keseluruhan dengan 131 mata, diikuti pelumba Indonesia, Wahyu Aji Trilaksana (Yamaha Racing Indonesia), kedua dengan 115 mata dan Md Izzat Zaidi Salehan (RCB Kage Motobatt Yamaha YY Pang Racing) ketiga, 94 mata.

Berbaki dua pusingan melibatkan empat perlumbaan akhir sahaja lagi, Akid menjadi harapan untuk menamatkan kemarau gelaran underbone buat pelumba negara yang kali terakhir dimenangi Mohd Affendi Rosli pada tahun 2009.

“Pendekatan saya mudah, turun tanpa tekanan dan tidak mahu terlalu memikirkan gelaran keseluruhan. Saya hanya akan cuba memberikan aksi sebaik mungkin kerana masih ada 100 mata maksimum yang boleh dikutip,” jelas pelumba berusia 19 tahun itu.

Tambah Akid, “Keadaan litar mungkin memberi kelebihan atau kekurangan kepada pelumba kerana kebanyakannya tidak pernah beraksi di sini. Malah, kelas perlumbaan juga berbeza memandangkan sebelum ini melibatkan kategori 115cc.

“Ketiadaan pelumba wildcard tuan rumah yang handal seperti di Indonesia juga menjadikan peluang sama rata buat kami semua. Apa yang penting, saya perlu menaiki podium dan pada masa sama tidak boleh membiarkan Wahyu jauh di hadapan saya.”