Pemain ragbi berstatus naturalisasi jemputan negara, Timoci Vunimoku, menganggap try yang direkodkan ketika menentang Korea Selatan dalam kempen Kejohanan Ragbi Asia (ARC) adalah satu penghormatan dan hadiah buat peminat Malaysia.

Setiap hadangan dan percubaan menyerang ke kubu lawan diraikan penyokong yang hadir ke Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Suasana di stadium tetap menakjubkan di sebalik kekalahan 10-35 kepada Korea Selatan kerana ini merupakan pengalaman pertama skuad ragbi negara beraksi dalam kejohanan kompetitif di laman keramat Malaysia itu.

Usaha skuad negara bagi memastikan penyokong tidak pulang dengan tangan kosong berhasil apabila Vunimoku yang berasal dari Fiji, melakukan try pada minit ke-61.

Baginya, semangat rakan sepasukan yang tidak pernah luntur adalah faktor yang mendorongnya beraksi di luar kemampuan sebenar.

"Saya bangga dengan diri sendiri. Saya berterima kasih kepada pengurusan kerana memberi peluang untuk mewakili Malaysia.

"Terima kasih juga kepada Kerajaan Malaysia atas apa yang mereka berikan kepada saya, termasuk rakan sepasukan. Jika kami tidak bersatu-padu, saya tidak akan dapat melakukannya.

"Saya bangga menjadi sebahagian daripada pasukan ini memandangkan ini julung kalinya kami sampai ke tahap ini.

"Kami akan cuba sehabis baik ketika bertemu Hong Kong nanti, kami mahu menang.

"Ini kali pertama pasukan ragbi beraksi di sini, selama ini gelanggang ini kerap digunakan untuk perlawanan bola sepak.

"Ini satu sejarah buat kami," katanya.