Pemain senior dan muda skuad ragbi 15s negara, Mohd Syahmi Afiq, masih menaruh keyakinan terhadap keupayaan ketua jurulatih, Bradley Moni Mika, bagi menghadapi baki Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2019, selepas tewas dalam dua perlawanan ketika menentang Korea Selatan.

Pemain ragbi senior negara itu yang beraksi dalam edisi 2018 berkata terdapat banyak perbezaan yang dibawa bekas pemain tersohor skuad New Zealand itu bagi menghadapi saingan ARC tahun ini.

"Banyak perubahan dilakukannya tahun ini berbanding tahun lalu daripada segi taktikal dan latihan memang berbeza," ujarnya.

Walaupun, perayaan Aidilfitri sudah tiba yang memberi ruang kepada atlet untuk berehat, Syahmi tetap fokus menjelang perlawanan menentang Hong Kong dan berlatih mengikuti program yang disediakan oleh Mika.

"Dah lama saya tidak bercuti Hari Raya Aidilfitri, rasa berdebar pula untuk balik kampung.

"Tetapi apa yang penting saya perlu fokus kepada perlawanan menentang Hong Kong.

"Walaupun bercuti, kami akan meneruskan latihan berdasarkan jadual yang diberikan," tambahnya.

Malaysia yang berada di ranking ke-45 dunia bakal bertemu pasukan di ranking ke-25 dunia itu di Stadium Bola Sepak Hong Kong, 15 Jun, sebelum perlawanan kedua di Kuala Lumpur, 22 Jun.

Ini merupakan perlawanan penentuan buat skuad Bunga Raya yang perlu meraih kemenangan sekiranya ingin kekal dalam saingan Liga Premier ARC, musim depan.