Ketua jurulatih skuad ragbi 15s negara, Bradley Moni Mika, optimis skuad Bunga Raya sudah cukup bersedia untuk menghadapi cabaran juara bertahan, Hong Kong, di Kelab Bola Sepak Hong Kong, 15 Jun ini.

Saingan skuad negara dalam Kejohanan Ragbi Asia (ARC) tahun ini boleh dianggap sebagai memuaskan menerusi beberapa peningkatan berbanding tahun lalu biarpun tewas dalam dua aksi terdahulu berdepan Korea Selatan.

Mika yakin dengan prestasi yang ditampilkan pasukannya selain berharap taktikal perlawanan yang diterapkan mampu membawa pulang kemenangan sulung mereka dalam edisi kali ini.

Walaupun skuad kebangsaan hanya akan kembali berlatih Sabtu ini, Mika tidak gusar berikutan komitmen yang ditunjukkan anak buahnya sudah cukup bagus.

"Hong Kong lawan yang berbeza. Mereka boleh dikalahkan dan corak permainan mereka tidak banyak bezanya berbanding Korea.

"Korea mampu mengalahkan mereka kalau bertindak bijak dan ia tiada bezanya dengan kami.

"Kami masih mempercayai diri sendiri meskipun tewas dalam dua perlawanan awal.

"Tetapi kami haruslah buat kerja rumah untuk menghadapi mereka," kata bekas tonggak New Zealand itu.

Malaysia perlu meraih kemenangan ke atas Hong Kong sekiranya ingin kekal dalam saingan Liga Premier ARC 2020.