Asakan pasukan Hong Kong, terutama dalam babak kedua, gagal disekat skuad ragbi 15 sepasukan negara apabila tewas 8-67 dalam divisyen perdana Kejohanan Ragbi Asia (ARC) di Stadium Bukit Jalil, petang tadi.

Selepas dikecewakan Korea Selatan minggu lalu, Malaysia memberi tentangan hebat pada awal perlawanan berdepan Hong Kong yang juga pasukan pilihan.

Namun, dua try menerusi Thomas Lamboley di samping satu penalti oleh Matthew Rosslee meletakkan Hong Kong selesa mendahului 13-0.

Jack Neville kemudian menambah satu lagi try buat pelawat sebelum Malaysia mempamer kebangkitan apabila Etonia Vaqa Saukuru memperoleh try pada minit ke-35.

Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan Hong Kong, dengan try daripada Liam Slaten serta conversion Rosslee menjadikan kedudukan 27-5 menuju ke bilik persalinan.

Babak kedua menyaksikan segalanya tidak menjadi buat skuad negara apabila Hong Kong menambah 40 mata, antaranya menerusi try Yiu Kam Shing, Conor Hartley dan Rob Kieth.

Hanya penalti yang disempunakan oleh Syarif Aazwan Sudin memberikan tiga lagi mata buat Malaysia yang terpaksa akur dengan kekalahan 8-67 kepada Hong Kong.

Malaysia terus menghuni tangga tercorot selepas tewas dua kali, menyaksikan misi lebih berat dipikul anak buah Lee NyuK Fah untuk aksi timbal balik di tempat lawan nanti.

"Pemain memberikan aksi baik dalam separuh masa pertama tetapi tidak dalam babak berikutnya.

"Saya fikir banyak kerja yang perlu dilakukan, bukan sahaja untuk kemahiran tetapi tahap kecergasan," kata Nyuk Fah.

"Kami mendapat banyak tekanan dalam separuh masa pertama tetapi permainan kami lebih baik selepas itu.

"Kami akan memberi tumpuan kepada satu demi satu perlawanan dan berharap dapat mengulangi aksi baik dalam aksi minggu depan," kata kapten Hong Kong, James Cunningham.