Ketua jurulatih baru skuad ragbi 15 sepasukan negara, Rodney So'oyalo, secara peribadi tetap meletakkan sasaran tinggi sempena Kejohanan Ragbi Asia (ARC), Januari tahun depan.

Bekas bintang New Zealand All Blacks itu yang pernah merupakan rakan sepasukan legenda dunia seperti mendiang Jonathan Lomu, bagaimanapun sedia menerapkan acuan tempatan.

Malah, So'oyalo -- yang dilantik Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) September lalu untuk mengambil alih tugas daripada Brad Mika -- akan turut menggunakan pengalamannya ketika memenangi Piala Dunia Ragbi 7s di Argentina pada 2001 dan meraih pingat emas Sukan Komanwel Manchester 2002.

"Kami tidak berada di kemuncak prestasi ketika ini jadi kami perlu gunakan sumber pemain yang ada termasuk daripada segi fizikal.

"Kami tidak boleh mengikut corak permainan Afrika Selatan dan New Zealand.

"Dua pasukan ini mempunyai purata pemain yang berat melebihi 100kg. Malah, untuk menyenaraikan 12 pemain pun kami akan bergelut.

"Sebaliknya, saya akan mengikut acuan pemain di Malaysia dengan menjadikannya lebih baik," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.




54 pemain telah pun dipanggil So'oyalo untuk melaporkan diri hari ini sebagai pemilihan pemain skuad kebangsaan dan mereka akan melalui tiga fasa sebelum senarai akhir ke ARC diumumkan.

Beberapa pemain di luar negara seperti K. Dineshwaran dan Lawrence Petrus juga turut akan dipanggil bagi memperkuatkan skuad Bunga Raya, namun ia tidak berlaku dalam masa terdekat.

Ia bakal menjadi tugas mencabar buatnya memandangkan tempoh singkat untuk membentuk pasukan selain tidak banyak aksi kompetitif didedahkan kepada pemain negara.

"Secara peribadinya saya mahu memenanginya, ia sudah menjadi sifat semula jadi saya. Kami teruja untuk menghadapinya.

"Kami akan saling mendorong antara satu sama yang lain dan lihat apa hasilnya kelak.

"Kami akan memiliki peluang yang baik," katanya.