Pelari pecut negara, Muhammad Aqil Yasmin, mengakui prestasi yang dipamerkan Russel Nasir Taib dan Khairul Hafiz Jantan menjadi pemangkin untuknya menempah slot ke Sukan SEA Filipina, hujung November depan.

Aqil menganggap kedua-dua atlet itu sebagai pencabar terbaik untuk dia meningkatkan semangat bagi memburu rekod acara 200 meter kebangsaan .

Sebelum ini, Aqil memperbaharui rekod Sukan Malaysia (Sukma) di Perak, tahun lalu dengan catatan masa 21.01 saat, namun catatan itu kurang 0.11 saat berbanding rekod kebangsaan milik Khairul Hafiz.

Atlet berusia 22 tahun itu, bagaimanapun, mahu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, Mac ini, dengan membawa misi untuk menempah tempat ke Filipina.

"Kejohanan itu membuka peluang untuk saya bersaing dengan mereka.

"Saya akan mempamerkan prestasi terbaik untuk memburu slot ke Sukan SEA.

"Buat masa ini, saya hanya perlu fokus terhadap sesi latihan," katanya.