Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, dan atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin, masing-masing dinobatkan sebagai atlet terbaik dan atlet para terbaik dalam Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2019 di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Ia merupakan kejayaan ketiga Azizulhasni selepas turut merangkul anugerah sama dalam edisi 2009 dan 2017.

Pencapaian terbaik pelumba kelahiran Terengganu itu sepanjang tahun lalu adalah memenangi pingat emas acara keirin dalam Kejohanan Siri Dunia di Cambridge.

Pelumba dengan gelaran The Pocket Rocketman itu turut meraih emas acara pecut individu dalam Kejohanan Trek Asia di Korea Selatan, Oktober tahun lalu.

Sementara itu, Bonnie memecahkan dominasi skuad olahraga untuk dipilih sebagai penerima anugerah atlet para terbaik bagi tahun 2019.

Atlet muda itu mengatasi tiga pencabar lain yang disenarai pendek, iaitu S. Suresh (memanah), Wiro Julin (memanah) dan Ziyad Zolkefli (olahraga)

Selaku pemenang, Azizulhasni dan Bonnie membawa pulang sebuah trofi dan hadiah wang tunai RM10,000.