Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100 Plus 2016 bakal memberi pengiktirafan kepada atlet Sukan Paralimpik dengan memperkenalkan Anugerah Atlet Paralimpik terbaik bermula tahun ini.

Kecemerlangan yang dipamerkan atlet para dalam Sukan Paralimpik Rio tahun lalu membuat SAM berbesar hati memperkenalkan anugerah itu buat julung kalinya.

Presiden SAM, Ahmad Khawari Mohd Isa, menegaskan anugerah baru itu akan terus menjadi kategori tetap dalam majlis anugerah akan datang.

Pemenang bagi kategori itu akan meraih wang tunai RM10,000 yang bakal disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, pada 2 Mac ini.

"Untuk anugerah yang kali pertama diperkenalkan, iaitu Anugerah Atlet Paralimpik Terbaik 2016, kami ada empat calon," katanya.

"Keempat-kempat calon itu adalah pemenang pingat dalam Sukan Paralimpik 2016, iaitu Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Siti Noor Radiah Ismail."

Bagi kategori atlet terbaik, SAM membuat kelainan dengan menyenaraikan tujuh calon berbanding lima pada tahun-tahun sebelum ini.

Semua pemenang pingat perak dan gangsa Sukan Olimpik disenaraipendekkan, diikuti pelumba moto3 negara, Khairul Idham Pawi dan jaguh dunia pencak silat, Mohd Al Jufferi Jamari.

"Buat pertama kalinya pada tahun ini, SAM telah memutuskan untuk menambah senarai pendek itu kepada tujuh pencalonan. Calon-calon itu berdasarkan pencapaian semasa mereka."

Persaingan atlet terbaik dijangka sengit, dengan kekuatan tetap kepada pemenang pingat dalam Sukan Olimpik Rio 2016, termasuk Datuk Lee Chong Wei.

Calon Atlet Terbaik

1. Datuk Lee Chong Wei
2. Goh V Shem-Tan Wee Kiong
3. Chan Peng Soon-Goh Liu Ying
4. Azizulhasni Awang
5. Pandelela Rinong Pamg-Cheong Jun Hoong
6. Khairul Idham Pawi
7. Mohd Al Jufferi Jamari

Calon Atlet Paralimpik Terbaik


1. Muhammad Ziyad Zolkefli
2. Abdul Latif Romly
3. Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi
4. Siti Noor Radiah Ismail