Pemenang Anugerah Olahragawan Kebangsaan 2017, Mohd Azizulhasni Awang, menganggap pengiktirafan itu sebagai motivasi untuknya kembali ke prestasi terbaik, terutama bagi menghadapi dua kejohanan besar tahun ini, iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Selepas gagal mempertahankan jersi pelangi dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Belanda bulan lalu, Azizulhasi mengakui dia kini masih lagi dalam proses pemulihan selepas dijangkiti demam virus sebaik sampai ke negara itu.

Katanya, pengiktiran selaku Olahragawan Kebangsaan buat kali ketiga kembali menyemarakkan lagi hasratnya untuk kekal berada di landasan terbaik, terutama dalam Sukan Komanwel yang akan membuka tirai sebulan sahaja lagi.

"Saya harap dapat pulih segera dan menjalani latihan seperti biasa. Kami ada lebih kurang tiga minggu sebelum berlepas ke Gold Coast.

"Apabila sampai di sana, saya harap dapat mencapai tahap terbaik seperti sebelum ini," ujarnya.

Pentas Komanwel adalah medan terbaik untuk dia membuktikan dirinya masih relevan walaupun pesaing yang bakal dihadapi sebahagian besarnya bertaraf dunia.

"Sudah tentu pentas Komanwel boleh dikatakan amat sengit. Dalam Kejohanan Dunia baru-baru ini, saya melihat aksi pelumba United Kingdom, Australia dan New Zealand," ujarnya.

Azizulhasni bersama kem berbasikal negara kini sedang menjalani persediaan akhir di Velodrom Nasional, Nilai sebelum berlepas ke Gold Coast hujung bulan ini.

Juara dunia keirin 2017 dari Terengganu itu juga cemerlang menggondol emas acara pecut Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) dan emas dalam Sukan SEA.