Pakar pecut Terengganu Cycling Team (TSG), Anuar Manan, akur dengan keputusan pihak pengurusan tidak menggunakan khidmatnya bagi Jelajah Malaysia 2017 bulan depan meskipun memiliki rekod cemerlang dalam perlumbaan berbasikal tertua Asia itu.

Anuar menjuarai dua peringkat perlumbaan pada penampilan terakhir Jelajah Malaysia 2015.

Begitupun, dia sering direhatkan bagi memberi peluang kepada pakar pecut lain seperti adik-beradik Mohd Harif dan Zamri Salleh untuk menggalas cabaran TSG.

Justeru, pelumba berusia 31 tahun tiada pilihan lain selain akur dengan keputusan pasukan.

"Pada 2016, saya terlepas aksi Jelajah Malaysia dan tahun ini juga sama tetapi tidak mengapa kerana TSG miliki ramai lagi pelumba dan mereka sudah tentu ada strategi tersendiri.

"Pada masa sama, mereka akan menghantar saya menyertai satu hari kejohanan di Hong Kong," jelas Anuar.

Pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu ini pernah mewakili beberapa pasukan bertaraf pro benua seperti Champion System dan Synergy Baku Cycling Project sebelum kembali ke pangkuan TSG pada 2014.

Dia akan berlepas ke China, lusa, untuk menyertai Jelajah China II, saingan bertaraf 2.1 bermula Ahad ini.