Bekas atlet angkat berat negara, Sharifah Inani Najwa Syed Anuar, mengikut jejak atlet olahraga, Yuan Yufang, apabila menyuarakan hasrat kembali daripada persaraan walaupun acara wanita tidak dipertandingkan dalam Sukan SEA, Ogos depan.

Sharifah Inani bersara pada 2014 selepas Sukan Asia Incheon 2014 sebelum melangsungkan perkahwinan dan mengambil keputusan mengumumkan persaraan.

"Saya mahu membuat kemunculan semula sebab saya rasa saya masih tidak dapat apa yang saya mahukan dalam bidang angkat berat. Selama 12 tahun saya berlatih, saya masih tidak dapat pingat Sukan Komanwel ataupun kedudukan terbaik.

"Selama ini saya, kerja sebagai pelatih peribadi di luar. Saya juga ada berlatih dan buat kelas angkat berat. Maksudnya, saya masih terlibat dengan sukan angkat berat juga," katanya.

Atlet kelahiran Rompin, Pahang itu menjelaskan bahawa dia menyasarkan kedudukan lima terbaik dalam Komanwel.

"Saya tahu apa yang MSN (Majlis Sukan Negara) mahukan. Saya perlu berlatih dan fokus untuk mendapatkan kembali angkatan lama saya. Saya akan cuba yang terbaik. Kalau ada rezeki adalah, kalau tiada redha sahaja."

Profil Sharifah Inani Najwa Syed Anuar

Usia: 27 tahun
Asal: Rompin, Pahang
Kategori: 53kg

Pencapaian:
2010 - Kelima Sukan Komanwel
2013 - Tangga ke-10 Kejohanan Dunia
2013 - Gangsa Kejohanan Negara Komanwel