Perlumbaan kelima dan keenam Kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi 2017 hari ini terpaksa ditunda ekoran tahap tiupan angin yang kurang memuaskan di sekitar perairan Pulau Langkawi.

Jika mengikut jadual, hari ketiga perlumbaan akan dilangsungkan di bahagian laut dalam perairan Pulau Langkawi.

Namun, selepas hampir lima jam menanti, ketua pegawai perlumbaan, Simon James, terpaksa mengambil keputusan menunda perlumbaaan tersebut kerana tiupan angin yang hanya mencecah sekitar 3 knot.

"Keadaan angin tidak memihak kami hari ini. Angin agak perlahan, jadi tidak adil untuk mana-mana kapal layar turun beraksi.

"Jawatankuasa perlumbaan turun ke laut pada jam 8 pagi bagi menyemak keadaan angin di seluruh kawasan dan mendapati kelajuan angin hanya mencapai 3 knot, iaitu di bawah kelajuan minimum yang diperlukan," katanya.

Meskipun sudah menjadi kelaziman dalam sukan pelayaran, keputusan itu tetap memberikan impak buat pasukan yang bertanding selepas merangka strategi untuk mengejar kelompok pendahulu mahupun mengekalkan kedudukan dalam kategori masing-masing.

"Ia agak mengecewakan kepada kami hari ini kerana perlumbaan dibatalkan. Sepatutnya kami beraksi dalam misi memperbaiki kedudukan tetapi tanpa sebarang perlumbaan, kami tidak mampu melakukannya," kata ketua bot pasukan dari Australia, Oi, Jed Jennings.