Rafael Nadal melihat Dominic Thiem mampu menjuarai saingan di Roland Garros selepas menewaskan pemain Austria itu untuk menjulang kejuaraan Terbuka Perancis buat kali ke-12, awal pagi tadi.

Untuk tahun kedua berturut-turut, Nadal mengatasi Thiem di gelanggang Philippe-Chatrier dengan kemenangan 6-3, 5-7, 6-1, 6-1 untuk merakamkan rekod baru, menang acara perseorangan paling banyak dalam satu grand slam.

Walaupun juara bertahan itu melepaskan satu set, dia jelas pantas memperbaiki persembahan untuk tampil cemerlang di Paris.

Nadal kini pastinya menyasarkan untuk meneruskan kemenangan dalam grand slam kegemarannya itu tetapi yakin Thiem juga mampu menjulang Coupe des Mousquetaires.

"Pertama sekali, saya mahu ucapkan tahniah buat Thiem dan bersimpati kerana dia juga berhak berada di sini," katanya.

"Anda merupakan salah satu contoh terbaik yang kami miliki dalam jelajah ini, seorang yang rajin, sentiasa tersenyum dan merupakan individu yang baik. Itu paling penting.

"Saya tahu sukar menerima kekalahan dalam final tetapi inilah sukan dan sejujurnya, jika saya mahu tewas kepada seseorang, ia adalah anda kerana anda berhak. Teruslah berusaha dan anda akan memenangi gelaran ini."

Pemain nombor empat dunia, Thiem, yang beraksi hebat dalam set pertama sebelum tewas 6-3 menyambut kekalahan itu dengan hati terbuka ketika berucap dalam acara penyampaian hadiah.

"Ketika ini, ia sukar kerana saya memberikan segalanya dalam dua minggu terakhir," ujar pemain berusia 25 tahun itu.

"Nadal, tahniah. Sudah tentu saya sedih apabila kalah tetapi anda merupakan juara yang hebat serta legenda dalam sukan ini.

"Kami gembira anda beraksi. Ia hebat. Jumlah 12 kejuaraan di sini, ia sukar dipercayai. Saya akan cuba lagi tahun depan, itu sudah pasti."