Pelumba berpengalaman PDRM, Amir Mustafa Rusli, yakin kehadiran dua atlet kebangsaan, Fauzan Ahmad Lutfi dan Nik Mohamad Azwan Zulkiflie, mampu menjana kekuatan pasukan bagi menamatkan penantian gelaran pasukan tempatan terbaik menjelang Jelajah Malaysia 2017.

Sebelum ini, Amir menjadi pelumba berpengalaman tunggal untuk memimpin barisan pelumba muda PDRM selepas kehilangan khidmat Fauzan dan Nik Mohamad Azwan akibat kecederaan serta komitmen bersama pasukan kebangsaan.

Kini, kedua-dua pelumba itu kembali menjadi pertaruhan dan PDRM pastinya mengidamkan gelaran pasukan tempatan terbaik yang kali terakhir dimenangi pada 2013.

“Dalam kalangan pasukan tempatan, saya yakin kami akan cuba melakukan yang terbaik, terutama dengan kehadiran semula Nik Mohamad Azwan dan Fauzan,” kata Amir.

Selain Amir, Fauzan dan Nik Mohamad Azwan, PDRM juga akan dibarisi Mohd Elmi Jumari, Amirul Anuar Jafri serta Muhd Nasrullah Ismanizam.

Antara persiapan awal pasukan bimbingan Manjit Singh itu termasuk kem latihan selama seminggu membabitkan lokasi di sekitar Perak, Pulau Pinang dan juga Kedah bagi membolehkan mereka lebih menyesuaikan diri dengan keadaan laluan yang bakal diharungi dalam saingan Jelajah Malaysia nanti.

“Laluan menaiki Gunung Jerai akan menjadi laluan yang paling sukar, jadi kami perlu mempersiapkan diri.

“Mungkin pada minggu terakhir, persiapan rapi akan lebih dipertingkatkan seperti kawalan pemakanan dan kami perlu yakin,” tambahnya.