Pemain skuad hoki wanita negara, Siti Nor Amarina Ruhani, merumuskan rakan sepasukannya mempamer petanda positif dalam kekalahan 3-0 kepada Australia semalam untuk Malaysia meneruskan misi penting dalam separuh akhir Liga Hoki Dunia di Brussels, Belgium.

Tegas Amarina, pujian harus diberikan kepada skuad yang memperagakan aksi melawan selain turut mencipta peluang untuk cuba mengejar kedudukan menentang pasukan di ranking keempat dunia itu.

Jelasnya, kekalahan 3-0 bukan sesuatu yang baik buat Malaysia, namun apa yang dibanggakan ialah corak menyerang yang ditunjukkan skuad negara dalam perlawanan itu.

"Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati dengan semangat setiap pemain yang ditunjukkan dari awal hingga tamat perlawanan.

"Kami menyerang sebagai satu pasukan dan juga bertahan sebagai satu pasukan untuk menyekat kekuatan pihak lawan."

Mengulas mengenai beberapa peluang dalam kawasan D, termasuk pukulan sudut penalti, Amarina berkata: "Ini petanda positif di bahagian serangan di mana kami boleh mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol.

"Kami boleh menjadikannya sebagai senjata untuk perlawanan seterusnya."