Chris Paul mungkin akan merindui Los Angeles musim depan selepas ditukarkan ke Houston Rockets semalam, namun dia mungkin tidak akan merindui ketua jurulatih Los Angeles Clippers, Doc Rivers.

Menurut pengulas sukan ESPN, Michael Eaves, Paul dan veteran Clippers yang lain tidak suka dengan cara Doc mengendalikan pasukan itu, lebih-lebih lagi apabila melibatkan anaknya, Austin Rivers.

Eaves membangktikan amalan pilih kasih Doc apabila Glen "Big Baby" Davis mengecam Doc dan anaknya itu dalam satu video di Instagram, Mei lalu.

Davis secara terang-terangan berkata Austin tidak akan mendapat tempat dalam NBA jika bukan disebabkan ayahnya.

Dengan Paul sudah pun meninggalkan Staples Centre, Blake Griffin dan J.J Redick juga dijangkakan bakal mengikut langkah sama, dengan Griffin menjadi sasaran Oklahoma City Thunder.

Senario ini menunjukkan Clippers bakal berdepan masalah walaupun musim baru hanya akan membuka tirai 20 Oktober ini.

Bagaimanapun, ia mungkin bukan satu masalah buat Doc kerana dia boleh sahaja bergantung kepada anaknya, Austin, untuk menyelamatkan keadaan.