Jurulatih karate-do negara, Ali Reza Souleymani, lega Malaysia tidak perlu lagi bergantung kepada atlet diva, Syakilla Salni Jefry Krishnan, berikutan A. Somanroy dan P Madhuri masing-masing menghuni ranking pertama serta ketiga kumite bawah 21 tahun (B-21) dunia.

Atlet muda negara itu mula menunjukkan kebangkitan mereka apabila mendaki ranking dunia.

Juara Asia Tenggara, Somanroy, menghuni ranking pertama dunia B-21 kumite kategori bawah 84kg dengan mengumpul 127.50 mata sementara Madhuri di kedudukan ketiga dunia kumite bawah 50kg menerusi 382.50 mata.

Ia membuktikan bahawa program latihan yang dikendalikan Ali makin berkesan selepas empat bulan di Malaysia.

"Atlet muda mempunyai ketangkasan dan menampilkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan.

"Ini hanyalah satu permulaan berikutan saya baru membentuk asas mereka dan mereka boleh meraih pencapaian lebih besar lagi (pada masa depan).

"Saya harap mereka dapat meraih kejayaan lebih besar daripada ini," katanya.

Bagaimanapun, Somanroy dan Madhuri berdepan cabaran sukar untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 berdasarkan ranking keseluruhan dunia dan peluang terbaik mereka adalah menerusi kejohanan kelayakan, April tahun depan.

Ali akan mengadakan sesi pemilihan akhir bulan ini untuk memilih atlet terbaik bagi menghadapi Kejohanan Karate-do Asia di Uzbekistan, 19 Julai depan.

"Ia satu kejohanan yang menampilkan atlet berpengalaman dan handalan.

"Kami mahu mencabar mereka dan saya mahu anak buah saya memberi saingan berdasarkan kemampuan, bukannya bersaing dengan Iran mahupun Jepun sebab mereka jauh lebih bagus," katanya lagi.