Ketua jurulatih skuad karate negara, Ali Reza Souleymani, tidak terkesan dengan ketiadaan atlet senior, Syakilla Salni Jefry Krishnan, yang sudah dua minggu tidak hadir ke sesi latihan gara-gara tidak menggemari corak latihan baru yang diterapkan jurulatih itu.

Jurulatih dari Iran itu menganggap tindakan Syakilla yang memberontak itu sebagai tidak profesional.

Baginya, prospek utama Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu terlalu terburu-buru membuat keputusan tanpa memberikannya peluang memupuk keserasian selepas sebulan mengendalikan skuad negara.

Ali Reza kini hanya mahu memberikan tumpuan terhadap atlet yang benar-benar memberikan komitmen sepenuhnya.

"Berdasarkan pengalaman saya, saya mampu membantu setiap atlet yang mempunyai disiplin dan kedatangan yang baik.

"Anda datang ke sini dan saya akan mendidik anda untuk menjadi atlet yang baik.

"Jika tidak, saya tidak dapat melakukan apa-apa.

"Saya tidak perlu memberikan nasihat kepadanya.

"Setiap individu perlu memilih haluan hidup mereka.

"Saya tidak boleh menentukan hidup seseorang.

"Sebagai seorang jurulatih, jika anda datang ke sini untuk berlatih, saya amat berbesar hati untuk mendidik anda," katanya.

S. Prem Kumar merupakan antara atlet senior yang masih kekal berlatih di bawah bimbingan Ali Reza dan telah menandatangani kontrak baru dengan Majlis Sukan Negara (MSN).

Dia turut mengharapkan satu keputusan dapat dicapai di antara Syakilla dan Persekutuan Karate Malaysia (Makaf).

"Kami perlu menyedari setiap jurulatih luar pasti akan kembali ke negara asal mereka.

"Kami perlu menerima perubahan dan memandang jauh ke depan," katanya.