Trent Alexander-Arnold akan terlepas kempen Euro 2020 pertengahan bulan ini gara-gara mengalami kecederaan paha ketika menentang Austria awal pagi semalam, demikian disahkan skuad kebangsaan England.

Pertahanan sayap Liverpool itu menjadi perbualan ramai ketika Gareth Southgate perlu mengecilkan senarai 26 pemainnya awal minggu ini.

Alexandor-Arnold, bagaimanapun, terpilih di samping tiga pertahanan kanan lain, iaitu Kyle Walker, Reece James dan Kieran Trippier.

Namun, nasib jelas tidak menyebelahi pemain berusia 22 tahun itu apabila dia mengalami kecederaan paha pada lewat permainan ketika pasukannya menewaskan Austria 1-0.

Southgate selepas perlawanan persahabatan di Middesbrough itu berkata ia "bukan satu petanda baik" berikutan melihat Alexander-Arnold terpaksa dipapah ke tepi padang dan pemeriksaan lanjut awal pagi tadi mengesahkan bahawa pemain itu mengalami koyak otot tahap dua.

Ia bermakna dia memerlukan waktu rehat sekurang-kurangnya enam minggu dan tidak akan terlibat dengan Euro 2020, di mana England akan memulakan kempen menentang Croatia pada 13 Jun ini.

Southgate masih belum memuktamadkan pengganti pemain itu menjelang perlawanan persahabatan menentang Romania hujung minggu ini.