Nilai 50 sen menjadi permulaan kepada aspirasi sebuah kerjaya luar biasa yang dinoktahkan tanpa sebarang sesalan. Ikon boling tenpin negara, Alex Liew, berkongsi bicara mengenai permulaan cintanya kepada sukan itu, yang perlu diucapkan selamat tinggal pada usia 44 tahun.

"Apabila saya berada di tingkatan empat, saya dapat menyertai satu kelab boling.

"Pada ketika itu, mereka memberikan kami harga istimewa iaitu 50 sen bagi setiap game.

"Jadi, cuba bayangkan, 50 sen pada ketika itu memang sudah sangat murah.

"Saya masih bersekolah dan keluarga memberikan sedikit wang, jadi saya menghabiskan RM5 untuk bermain 10 game setiap hari," katanya dalam satu temu bual Nadi Arena bersama Shahrazad Sani.

Jika terdapat satu kenangan yang mahu diabadikan Alex, Ia merupakan Sukan Asia di Guangzhou pada 2010.

Pengorbanannya sejak berusia belasan tahun akhirnya meletakkan dirinya di puncak dunia.

"Pencapaian terbesar yang paling saya ingati ialah dalam Sukan Asia di Guanzhou pada 2010.

"Saya memenangi dua pingat emas dan satu pingat perak.

"Satu (emas) dalam acara all-event dan satu dalam acara berpasangan bersama Adrian Ang.

"Dalam acara berpasukan, kami mendapat pingat perak," katanya.

Sekalipun tiada sesalan dalam kerjayanya yang berusia 24 tahun, masih ada realiti pahit yang perlu ditelan seperti kegagalannya untuk menobatkan diri selaku juara dunia.

"Saya tidak ingat tahun bila tetapi pada waktu itu, saya menyertai Kejohanan Dunia di Sunway Pyramid.

"Saya meletakkan sasaran yang amat tinggi tetapi saya tidak dapat mempamerkan prestasi sebenar.

"Ia adalah salah satu daripada dua kejohanan yang saya tidak dapat mencapai sasaran.

"Pingat emas Kejohanan Dunia dan satu lagi dalam kejohanan antarabangsa di Panama.

"Selebihnya, saya memenangi enam gelaran antarabangsa dan pencapaian itu sudah mengungkapkan segala-galanya ," tambahnya.

Daripada pelaburan bernilai 50 sen, ia akhirnya menjadi pengembaraan luar biasa.

Seperti harimau yang meninggalkan belang, Alex menutup satu naskah dalam kerjayanya dengan meninggalkan sebuah legasi.