Jaguh silat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari, menyuarakan kebimbangan apabila latihan masih dijalankan secara atas talian dalam persiapannya menghadapi Kejohanan Silat secara gelembung sukan di Jakarta, Indonesia, yang akan berlangsung pada 2 Disember.

Dengan banyak perubahan baru daripada segi peraturan pertandingan dan teknik, juara dunia 2012,2015,2016 itu berpendapat pemantauan yang teliti dalam latihan secara bersemuka dengan jurulatih amat diperlukan.

"Untuk capai 100 peratus, saya tidak boleh walaupun ada atlet yang lain boleh melakukannya.

"Andai persembahan kami menurun, saya harap pihak persatuan dan Majlis Sukan Negara (MSN) tidaklah marah kepada atlet.

"Saya perlukan jurulatih yang tengok (latihan saya), tidak berapa syok untuk sekadar menghantar rakaman latihan semata-mata. Pada pandangan sendiri seolah-olah saya ini sudah dikira hebat, rasa tidak sempurna.

"Saya perlukan jurulatih untuk memantau kelemahan dan aspek yang boleh membantu meningkatkan saya," katanya.