Garbine Muguruza menjadi nama terbaru yang ditunjukkan jalan keluar dalam saingan Wimbledon selepas Alison Van Uytvanck mempamerkan aksi terbaik dalam karier untuk menundukkan juara bertahan itu dalam pusingan kedua, awal pagi tadi.

Van Uytvanck tidak pernah melepasi pusingan kedua dalam kejohanan di All England Club itu tetapi pemain Belgium yang menduduki tangga ke-47 itu bangkit daripada ketinggalan untuk menang 5-7, 6-2, 6-1.

Muguruza muncul pilihan utama untuk mengekalkan kejuaraannya di SW19, namun hasratnya dipadamkan oleh Van Uytvanck di Gelanggang No.2.

Kekalahan pemain nombor tiga dunia itu menyaksikan enam daripada 10 pilihan utama dalam undian wanita mencipta kegagalan untuk mara ke pusingan ketiga.

Van Uytvanck langsung tidak mempamerkan permainan yang gemuruh apabila menggabungkan kekuatan dan ketepatan untuk mengatasi pemain dari Sepanyol itu, sekali gus melayakkan diri ke pusingan ketiga dalam kejohanan utama buat kali pertama sejak melangkah ke suku akhir Terbuka Perancis, tiga tahun lalu.

Pemain berusia 24 tahun itu mencatat 20 kemenangan dan memenangi 71 peratus mata dalam servis pertamanya, melakukannya tujuh kali untuk menunjukkan Muguruza jalan keluar.

Servis Muguruza menyaksikan Van Uytvanck tewas dalam set pertama, namun dia tampak hilang arah dalam aksi seterusnya sehingga membolehkan wakil Belgium itu melakar kejutan dengan kemenangan.