Pengalaman beraksi di Eropah menjadi sandaran buat pelumba import Team Sapura Cycling (TSC), Dylan Page, bagi membantu pasukannya itu mencapai kejayaan lebih besar musim ini.

Selepas mengharungi musim pertama yang cukup cemerlang, TSC memperkuatkan barisan pelumba, dengan Page salah seorang daripada tiga import menjadi taruhan.

Berasal dari Switzerland, pelumba itu pernah mewakili pasukan Caja Rural–Seguros RGA yang berpangkalan di Sepanyol.

Selain Page, TSC juga mendapatkan khidmat Jesse Ewart dari Australia serta pelumba kelahiran Jerman, Mario Vogt.

Jelajah Indonesia yang bermula hari ini bakal menjadi ujian awal buat mereka, sama ada dapat mencari keserasian bersama barisan pelumba tempatan yang diketuai Mohammed Adiq Husainie Othman.

"Pasukan sentiasa berkembang dengan baik dan pelumba-pelumba kekal dengan sikap profesional. Sasaran saya juga ingin berkongsi pengalaman kepada pasukan," kata Page.

Selain Jelajah Indonesia, TSC juga dijangka mengambil bahagian dalam perlumbaan di Turki bulan depan di samping saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) dan Jelajah Taiwan pada Mac.

Dalam masa sama, Page optimis dengan kemampuan TSC untuk menjadi antara 20 pasukan bertaraf benua terbaik musim ini selain mengejar impian untuk bergelar pasukan pro benua sedikit masa lagi.

"Le Tour de Langkawi menjadi sasaran utama saya dan ia sangat penting buat pasukan.

"Saya dapat rasakan perlumbaan ini mampu memberikan sesuatu kepada saya," tambahnya.