Persembahan yang dipamerkan pemanah recurve negara, Akmal Norhasrin, dalam Siri Kedua Piala Dunia di Antalya, Turki minggu lalu memberi keyakinan tinggi untuk dia tersenarai ke Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos depan.

Ketika ini, lima pemanah berada dalam senarai untuk mengisi empat slot ke Sukan Asia.

Berdasarkan pengalaman, Khairul Anuar Mohamad dan Haziq Kamaruddin hampir pasti tersenarai, apatah lagi mereka meraih pingat perak dalam acara berpasukan pada edisi 2014 di Incheon.

Jika dalam Siri Pertama Piala Dunia di Shanghai lalu Akmal terkandas dalam suku akhir, saingan di Antalya menyaksikan dia memberikan saingan hebat kepada pilihan pertama dari Korea Selatan, Kim Woo-jin, sebelum akur dengan kekalahan dalam pusingan keempat.

"Saya dapat meningkatkan prestasi daripada segi mental dan aspek teknikal. Saya berharap dapat mengekalkan momentum ini untuk beberapa kejohanan akan datang," kata Akmal.

Satu lagi siri Piala Dunia di Salt Lake City, Amerika Syarikat menjadi tumpuan buat Akmal sebelum senarai akhir pemanah ke Sukan Asia dimuktamadkan.

Jika tersenarai, ia bakal menjadi penampilan pertama pemanah yang berada di ranking ke-17 dunia ini di pentas Sukan Asia.

"Cabaran agak sukar kerana antara pemanah terbaik dunia datang dar negara Asia tetapi kami tetap akan cuba memberikan yang terbaik dalam Sukan Asia."