Hajat AJ Styles untuk beraksi di acara utama Wrestlemania bagi merebut Kejuaraan WWE tidak kesampaian apabila beliau kehilangan hak sebagai pencabar utama, setelah tewas di tangan Randy Orton di acara Smackdown Live minggu ini.

Tiga minggu berturut-turut AJ telah berhempas pulas untuk meletakkan namanya di slot tersebut. Bemula dengan pertempuran Battle Royal dengan akhirnya mengikat beliau dengan Luke Harper apabila keduanya jatuh serentak ke lantai gelanggang. Kemudian di minggu seterusnya, menentang Harper bagi penentuan pemenang mutlak.

Dan minggu ini, sekali lagi AJ berdepan dengan cabaran getir apabila terpaksa menghadapi Randy Orton yang pada saat akhir, mengisytiharkan yang dirinya akan mencabar Bray Wyatt bagi Kejuaraan WWE di Wrestlemania sekaligus menuntut kembali haknya sebagai pemenang acara Royal Rumble tahun ini.

head lock

Pertembungan AJ-Orton amat menarik kerana ia merupakan sebuah perlawanan yang telah lama diimpikan. AJ sendiri dalam satu temubual sebelum ini pernah menyatakan yang Randy Orton adalah lawan impiannya sejak menyertai WWE awal tahun lalu.

Namun sebelum perlawanan berlangsung, AJ sempat meluahkan rasa kecewanya. Setelah apa yang telah dilakukan sebelum ini dengan membawa siaran Smackdown daripada sebuah siaran kelas kedua kepada sebuah siaran terbaik WWE, tiada apa penghargaan yang beliau terima selain tiada rasa hormat daripada pihak pengurusan.

Randy burn Wyatt compound

Randy Orton yang membakar rumah Bray Wyatt minggu lalu pula yang diberikan anugerah. Tekad AJ, tiada siapa yang mampu menghalang takdirnya untuk beraksi di Wrestlemania sama ada Daniel Bryan, Shane McMahon mahupun Randy Orton sendiri.

Seperti dijangka, perlawanan tampak sengit apabila kedua penggusti bertukar serangan dan mengunci anggota lawan masing-masing. Merasakan Orton sudah mula mendominasi perlawanan, AJ mensasarkan serangan kepada bahagian lutut Orton. Namun The Viper bijak menangkis segala serangan dan perlawanan turut berlarutan sehingga ke luar gelanggang.

knee attack

Saru gerakan DDT cuba dilancarkan Orton namun AJ berjaya menangkisnya lantas bertukar kepada gerakan submission Calf Crusher. Orton meraung kesakitan, namun berjaya mencapai tali gelanggang dan memaksa AJ melepaskan kunci azab tersebut.

Satu phenomenal forearm cuba dilayangkan AJ dari luar gelanggang. Dengan satu lompatan bergaya, AJ bijak memperdaya Orton yang ingin menyambutnya dengan RKO. Hanya RKO angin sahaja yang dilakukan Orton sambil AJ tersenyum gembira kerana berjaya melakukan helah.

RKO

Satu gerakan hempap disusuli oleh AJ dan ia berjaya dielak oleh Orton. Kesudahannya, RKO berjaya dilancar Orton dan AJ hanya terbaring menerima tiga kiraan pin oleh pengadil.

Kini, Orton adalah pemilik mutlak slot pencabar utama Kejuaraan WWE yang dimiliki Bray Wyatt. Nyata, segala helah liciknya selama ini berjaya memperdaya Wyatt sehingga menyebabkan keluarga mistik alam kegelapan itu kucar kacir dan berpecah.

AJ loss

Tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku, AJ bertindak menyerang Shane McMahon di belakang tabir sehingga memaksa pegawai keselamatan meleraikan pergelutan antara mereka. Tidak mustahil, sengketa antara AJ dan Shane ini akan dibawa ke Wrestlemania seperti yang telah dirancang sebelum ini.



Atau tidak mustahil, Shane akan melantik proksi untuk mewakili dirinya bagi mendepani AJ kelak. Antara nama yang disebut-sebut kini adalah bekas Juara NXT, Shinsuke Nakamura yang memang mengharapkan agar dapat menyertai roster utama secepat mungkin dan beraksi di pentas terbesar gusti profesional iaitu Wrestlemania.

Siapa bakal beraksi di perlawanan kemuncak Mania?

Wrestling Observer Newsletter melaporkan yang WWE telah memutuskan perlawanan kemuncak di Wrestlemania 33 yang bakal berlangsung pada 3 April depan. Buat masa ini, pertembungan antara Goldberg dan Brock Lesnar bagi Kejuaraan Universal telah diletakkan di slot utama bagi memastikan para penonton terus melekat hingga akhir dalam acara yang akan bersiaran lebih 4 jam tersebut.

Goldberg vs Brock

Para penganalisis menjangkakan yang Lesnar akan merampas kejuaraan daripada Goldberg dan mengakhiri rekod kekalahan yang dialami dalam dua perlawanan sebelum ini. Perlawanan ini juga diramal tidak akan berakhir dalam tempoh masa yang singkat seperti sebelum ini. Sekurang-kurangnya, ia mungkin akan berlangsung dalam tempoh 10 minit bagi mengelak reaksi negatif para WWE Universe seperti yang terjadi dalam perlawanan Goldberg-Owens di acara Fastlane lalu.

Tambahan pula, kontrak Goldberg turut akan tamat pasca Wrestlemania dan tidak mungkin kejuaraan utama akan terus berada padanya. Setelah cerita Goldberg berakhir, Brock Lesnar dijangka akan berhadapan pula dengan Roman Reigns, yang turut dijangka akan cemerlang dalam pertemuannya dengan Undertaker di acara yang sama.

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro & Astro On-the-Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.