Pemain legenda Brazil, Roberto Carlos, mahu menjalin kerjasama sebaik mungkin sejurus namanya diumum selaku duta global terbaru Air Asia.

Tiada beza kesungguhan di atas padang mahu pun di luar daripada bidang utamanya, Carlos mahu pelantikannya itu memenuhi tuntutan yang diperlukan oleh pihak Air Asia.

Sambil menyifatkan ini adalah perkara baru untuknya, Carlos, yang memiliki keazaman luar biasa ketika era kegemilangannya, mahu membuktikan pemilihan sebagai duta global Air Asia adalah tepat.

"Air Asia sudahpun memiliki nama yang kukuh, kehadiran saya dengan membawa imej selaku Roberto Carlos mungkin mampu membantu Air Asia untuk terus mendapat tempat di hati pengguna. Saya berbangga dapat bekerjasama dengan Air Asia," katanya.

Carlos muncul dalam tiga kejohanan Piala Dunia dan berada dalam pasukan ketika Brazil muncul juara pada edisi 2002 yang berlangsung di Korea Selatan dan Jepun.